Orang miskin sukses buka kedai runcit di malaysia

ANAK-ANAKNYA pernah dihina kerana kemiskinan dengan dipanggil ‘anak hutan’ dan air mata keibuannya pun tumpah menahan hiba melihat anak-anaknya disindir sedemikian rupa.

Itulah harga yang perlu dibayar atas nilai kemiskinan yang akhirnya mendidik diri menjadi penyabar.

Kali ini, mari kita soroti kisah jerih-perih responden Jejak Asnaf, Noriza Idrus, 29 dan suami, Roslan Asmuni, 38 sebagai iktibar dan motivasi dalam meladeni hidup ini.

Sebagai orang kampung dengan kelulusan yang tidak seberapa, apa lagi yang mampu dilakukan olehnya kecuali membanting tulang empat kerat sekuat kudrat demi meraih rezeki yang halal dan berkat.

Tidak mudah menjadi orang susah. Semuanya harus dilalui penuh tabah. Pun begitu, andai berat mata memandang berat lagi bahu yang menyandang.

“Dahulu hingga sekarang, saya masih setia melakukan kerja-kerja kampung. Hingga kini, saya masih membanting tulang di kebun pisang dan ladang kelapa sawit. Di samping menyewa kebun tanah orang, saya juga mencari pendapatan dengan membantu teman-teman mengangkut buah pisang dan buah kelapa sawit ke dalam lori.

“Kerja-kerja ini semuanya sudah sebati dengan saya. Bahkan, sebelum saya berkahwin pun saya sudah mengerjakannya,” kata Roslan membuka cerita. Di sisinya, Noriza diam mengakui benarnya kisah kehidupan mereka.

“Tujuh tahun lamanya selepas mendirikan rumah tangga, kami menjalani kehidupan penuh kepayahan. Selepas kelahiran anak sulung kami, Nurulnajwa, pada 2009 kami telah diminta oleh imam di masjid kampung ini untuk mendaftarkan diri sebagai asnaf zakat,” celah Noriza menambah bicara, tentang detik permulaan mereka mendapat bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kini, hidup mereka diserikan lagi dengan dua orang anak.

“Jujurnya, kehidupan kami sebelum mendapat bantuan zakat memang menjerakan. Walaupun kami tinggal di luar bandar, kehidupan hari ini semuanya memerlukan wang dan ia amat mencabar. Bayangkan, kala susah itu, kami hidup ala kadar sahaja. Orang lain mungkin tidak tahu, tetapi keluarga terdekat sedar akan kesusahan kami.

“Bayangkan, untuk ke mana-mana jauh atau dekat, kami naik motor sahaja, kerana ia lebih murah dan jimat. Bahkan, selalu juga keluarga sebelah suami saya menghulurkan bantuan, misalnya kala menjelangnya hari raya dan juga musim persekolahan.

“Antara insiden yang tidak dapat saya lupakan apabila anak saya merengek mahu makan ayam. Kami tiada duit dan suami saya memujuk. Nanti jika ayah ada duit, kita makan ayam ya,” tambah Noriza.

“Jadi, apabila mendapat bantuan zakat, ia sungguh memberikan kelegaan kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah, syukur sangat-sangat,” tukas Roslan kembali penuh gembira.

“Sebenarnya, gaji saya sebagai pengangkut pisang dan kelapa sawit tidaklah seberapa. Hanya RM400 sebulan dan itulah jumlah buat menanggung tiga orang. Mujurlah isteri saya ini rajin dan tidak malu membantu. Saya masih ingat, dia sanggup berjalan dari rumah ke rumah di kampung ini untuk menjual kain, baju dan barangan kosmetik. Itu pun setelah ada seorang guru yang sudi membantu.

“Dengan jualan itulah dia membantu saya dan dapatlah perbelanjaan keluarga kami dipenuhi seadanya,” cerita Roslan terus menokok cerita.

Jelas, pasangan ini telah melalui pahit getir bersama-sama dan kini, mereka sedang melakar kejayaan hari muka juga bersama-sama.

Tidak mahu membiarkan semuanya di bahu suami, Noriza kemudiannya cuba berusaha mencari pekerjaan dan dia diterima menjadi pembantu di sebuah kantin sekolah oleh saudara sebelah suaminya.

Setahun Noriza bekerja sebagai pembantu kantin, sebelum diikuti dua tahun kemudiannya menjadi pembantu di sebuah kedai runcit.

Hakikatnya, pengalaman dua tahun menjadi pembantu kedai runcit itu amat bermakna. Ini kerana, Noriza bukan sekadar membantu, bahkan menjadi pengurus tidak langsung di kedai runcit berkenaan.

Noriza bertanggungjawab memastikan barang-barang runcit sentiasa ada, maka dia perlu berurusan secara langsung dengan pembekal. Noriza juga bertanggungjawab mengemaskini akaun kedai runcit berkenaan saban hari. Semua ini, menjadikan dirinya sudah betah dengan selok-belok perniagaan kedai runcit.

“Semasa saya menjadi pembantu kedai runcit, saya dibayar gaji harian, iaitu RM17 sehari. Biar pun jumlahnya tidaklah besar bagi pandangan orang tetapi ia amat besar bagi saya. Bukan sekadar jumlahnya sahaja besar tetapi pengalaman dan kemahiran mengurus kedai itulah yang lebih besar,” tegas Noriza menyuguhkan pandangan.

Namun begitu, suatu perkara yang amat bermanfaat kepada Noriza ialah pengalaman dan kemahiran mengurus kedai itulah yang menjadi aset baginya untuk memohon dana perniagaan daripada LZS bagi memulakan sebuah kedai runcit persendirian.

“Alhamdulillah, pada 1 Julai 2011, maka tercapailah impian saya apabila kedai runcit yang saya beri nama D’ Sepintas ini dibuka dengan rasminya. Sepintas itu adalah nama bagi kampung ini. Sejak dari tarikh itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Walaupun ada suara-suara sumbang menyatakan, paling lama hanya tiga bulan sahaja kedai ini mampu bertahan, alhamdulillah, saya sudah berjaya buktikan sebaliknya,” tegas Noriza.

Kini, di samping kedai runcit yang menjual barangan kering harian, Noriza dan Roslan melangkah setapak lagi ke hadapan dengan membuka jualan barangan basah, seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.

Usaha ini disokong oleh LZS apabila modal tambahan bagi membeli peti ais yang lebih besar diluluskan. Sehingga kini, secara keseluruhannya LZS sudah meluluskan bantuan modal perniagaan lebih RM15,000 buat mereka.

“Alhamdulillah, kami merancang akan maju lagi dalam perniagaan kedai runcit ini. Kami juga bercadang akan keluar dari senarai asnaf zakat pada tahun ini dan insya-Allah, jika ada kemampuan, maka kami akan tunaikan zakat pada tahun ini juga.

“Dalam kesempatan ini, kami tidak lupa untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan juga LZS serta semua pihak yang prihatin dan telah membantu kami selama ini. Kami sekeluarga doakan, moga semuanya diberkati Allah SWT hidup mereka, dari dunia hingga akhirat,” tuntas Noriza dan Roslan menutup kalam bicara.

Nota: Kedai runcit D’ Sepintas Enterprise terletak di Lot. 289-A, Bt. 2, Sepintas, 45200 Sabak Bernam, Selangor. Tel: 012-942 0161.

artikel ini di kutip dari sebuah media online malaysia. sengaja saya publikasikan karena mirip dengan kehidupan saya:D
Sumber Artikel : http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20120614/ba_01/Kedai-runcit-jadi-bukti#ixzz2DIv4rIDb